05 Oktober 2011

Simpul-simpul Batu

Takkanlah
dan tidak mungkin aku yang menipu
kerana aku sentiasa bercakap benar
berbuat benar
walau ada sedikit nista
akan akhirnya aku benarkan mengikut kata-kata

Aku tidak punya kuasa
aku tidak punya harta
jauh sekali aku akan punyai kemampuan
kerana kata-kata sekelilingku
yang selalu memberi aku nasihat
demikian aku selalu merintih cerca
untuk aku berasa sentiasa benar
untuk aku berasa sentiasa bercakap benar

Dengarlah wahai kamu
kasihnya aku ini bukanlah bermain-main
tidaklah pudarnya ia jika apa-apa yang terjadi
tetapi kamu itu yang selalu begini
selamat berbahagia
jangan jadikan ianya terhenti pada angka lima.
selamat berbahagia.

02 Ogos 2011

Mimpi Cemuih

Kelmarin di satu malam yang berangin tetapi tidak dingin
aku bermimpi

perlahan-lahan sedangnya aku melangkah melintas satu padang hijau
dan terlihatlah suatu busut di tengah-tengah
aku mencangkung
dan aku amati
tatkala yang aku tidak pula perasankan
busut itu meletus meluahkan beribu anai-anai berlari keluar
mereka bergerak cergas seperti hari itu siang
agak cemas tetapi sambilnya aku juga kagum
maka aku membiarkan
dan aku amati
lama-lama mereka semakin ramai
dan mula melingkar tapak kaki sehingga kepada tulang ketingku

aku aku aku aku aku aku aku tetap membiarkan
dan aku amati
akan sudahnya bila kawanan anai-anai itu telah menjalar lagi jauh
lalu merayap dan mengutil kulit-kulit pehaku
aku berasa geli-geleman
terus aku bingkas dan berlalu pergi meninggalkan busut yang berderai
tidak lagi aku membiarkan
dan aku amati

21 Jun 2011

aku RINDU padamu...

Ah...
sangat-sangat aku rindukan kehadiranmu..
pada waktu malap sebegini memanglah raut wajahmu mudah sekali untuk dilintas ingatan
asalkan singgah sekejap kemesraan yang terasa oleh peristiwa-peristiwa lama

06 Mei 2011

Dalam Kenangan



Dari sekitar 2003,

sehingga 6 Mei 2011 - 6.35 petang.



Selamat tinggal Pekat. Sejahtera-lah engkau di sana.

28 April 2011

Daerah Stesen Keretapi

Sebelum sampai aku ke Kajang
dan meniti tembok tangga yang tinggi itu
telah aku limpas banyak daerah lagi
Kluang
Segamat
Batuanam
Batang Melaka
Tampin
dan macam macam lagi
semuanya hanya persinggahan
yang kadangkala sekejap
dan kadangkala lama sekali.

Tidak adalah satu daerah yang berbeza
dalam mengisahkan kenangan
melainkan satu yang diangkat istimewa
iaitu daerah yang mana bermulanya aku
bermulakan perjalanan yang jauh ini
daripada daerah Tanjong Pagar
kerana ia-nya daerah yang sejarah
sejarah dilimpas orang-orang dahulu
sejarah cinta yang jauh
sejarah bangsawan singgah mewah
dan sejarah kebanyakan merintih kesenangan
yang takkan dapat dilimpas pada masa akan datang.

Semuanya akan berubah
seperti berubahnya daerah-daerah membangun
cuma ingatan dan kenanganku
yang pasti akan kekal lama dalam lubuk sanubari
yang akan aku ingat semuanya daripada Lokomotif Ekspres Senandung Sutera itu.

21 April 2011

Petamat

Hari ini adalah seperti hari-hari yang lalu
hari-hari juga adalah hari yang terakhir
yang penghabisan
yang penamat
aku bersyukur

Hari yang terakhir seharusnya penuh bermakna
dipenuhkan dengan suasana yang santai
yang gigi
yang harmoni
aku berterima kasih

Yang sukar difahami adalah sekiranya hari yang terakhir itu
tidak dikira
atau tidak diiktiraf
sebagai hari yang terakhir
moga-moga mereka mempunyai satu alasan yang kukuh dan positif.

14 April 2011

Injap Hati Bergolak Mesra

Untuk musim panas yang perlahan berlalu
bertamu sebelum membukakan laluannya
pada garang renyai di waktu petang
tiba musimnya untuk Angsana itu kuning berbunga.

Untuk aku yang tak sabar sabar
ingin mengendong Abqari ahli keluargaku yang paling baru
dengan lagi separuh purnama di seberang tambak
tiba musimnya untuk aku besenggang panjang.

Kembali gempal
kembali ikal
aku suka melihat sekitarnya alam
aku gemar memerhati derunya waktu
kerana ini semua adalah kenangan
yang antaranya paling susah untuk aku lupakan.

Untuk kamu yang tinggal jauh
empat bulan bukanlah sengga waktu yang begitu sekejap
dan untuk aku yang tinggal jauh
empat bulan itu amatlah sekejap untuk dikira malamnya
bagi bandingan kepada mesra hatiku ini bergetar setiap kali.

28 Mac 2011

Namun Sunyi

Aku tidak bermain dengan jiwa-jiwa
biarpun kadangkala ia sunyi seketika
seperti banyaknya kasih yang dipupuk
sedari dahulu
sedari dulu
tidak pula aku mengerti atau mengelak daripada cuba untuk mengerti
sendiri, mengenai apakah yang dikatakan nasib bahkan ketentuan yang tertentu
sepertimana ramai yang berkata cinta itu tidak boleh ianya dipaksa untuk datang
tidaklah boleh juga untuk kita memaksa ianya pergi
pergi,menerebus awan dan berarak laju
meninggalkan mendung dan mendatangkan sinar bahang kembali
seperti banyaknya kasih yang dicurah
biarpun kadangkala ia sunyi seketika
aku tidak bermain dengan jiwa-jiwa.

21 Mac 2011

aku CINTA padamu...Babak Tiga

Hatiku berdegup setiap kali terdetik namamu
halwaku bergetar setiap kali terdengar suaramu
fikiranku tak lekang terukir indah wajahmu
senyummu membuat diri ini ceria
gerimu membuat diri ini terpesona
akan tingkah laku yang peri
mengubat peristiwa lara
mengubah hari yang duka
biar aku senang menyatakan
padamu, kasihku bukan kekasihku
yakni aku cinta padamu.

28 Februari 2011

Cerita Yang Penghabisan Kali

Aku pasrah
dalam ketentuan ini
terluah ucapan selamat berbahagia
yang cuas ikhlas dari sanubariku
menyuguh salam menyiram mesra
aku biarkan engkau selami
sendiri
menolak hasad dengki
mengolah cekalnya hati
antara rimbunan bemban itu yang
melambai tetap teguh berdiri.

31 Januari 2011

Pasang-pasang Usang

Jika hari ini lagi
masuk sudah tiga hari mentari siangku tidak lagi menemani
sedari pagi hinggakan dinihari
setianya hujan itu tetap
jatuh lebat berturut-turut
membasah dunia dan menyaman laman
membuat perut-perut pokok kian senak
tapi aku tetap tenang tersenyum

Jika hari ini lagi
masuk sudah tiga minggu bebola mata kiriku tidak lagi putih
mataku yang tampak sebelah garang
dengan urat-urat merah dan biji hitam kedalam
tabib chuah yang aku kunjungi
tenang hatinya memberiku penawar
buat mata kiriku yang merah ini meronta-ronta
kesakitan yang selalu diam dan pekak kelabu
tapi aku tetap tenang tersenyum

Mentari ini kelam
dan pulau ini suram
mata ini pendam
dan pulau ini muram
jika sekiranya mentari dan mata ini amat relatif
sekurang-kurangnya hari ini lagi
bila mana mentariku terkelam mewajahkan suram
di situ juga mataku terpendam mewajahkan muram
berlari-lari anak mataku dari hujung ke hujung pulau

Waktu hujan yang panjang begini
jika hari ini lagi sudah masuk tiga hari
amatlah senang untuk seseorang tersenyum
dan juga sosok yang kekadang senang amat amarahnya timbul
marah kepada lebatnya hujan
yang tak mahu surut
tidak pula reda-reda
atau tujunya itu pada Sang Esa?
Buat mereka-mereka yang biasa
hujan merencatkan kebahagiaan seharian
memanjangkan hari tekanan bosan
tapi buat mereka yang berfikir
hujan merencatkan kedurjanaan leka
memanjangkan hari rahmat dari-Nya

Dan jika hari ini lagi mata ini tetap memerhati
sambil terkulai masih tersenyum
menanti setianya ia kembali
untuk mentari itu
muncul dan memancar lagi.

23 Januari 2011

Penghujung Jalan

Dingin petang ini menyedarkan aku
menanti
titisan ini berhenti
waktu lewat petang begini
diteman jua si penghibur hati
tanpa peduli semuanya pergi

Aku berkelana sendiri
gembira, mungkin sengaja
dek minda nan terangsang melonjak-lonjak; berdikari
Mencari ilmu mendalami diri
menyimpang daripada kebiasaan
dalam dunia sama - tapi takkan ianya serupa

Hanya aku berharap
agar semua yang, akan, telah
aku tempuh
aku teguh
agar semua yang, akan, telah
aku alami
aku pelajari
bersama si dia
gadis yang tenang si penenun kainku.